Hairie Norli
am@hmetro.com.my


PARTI Alternatif Rakyat (PAP) hari ini mahu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tampil mendedahkan semua kilang haram yang beroperasi di negeri ini.

Naib Presiden PAP Rahmad Isahak berkata, menurut sumber yang diterima terdapat lebih 200 kilang beroperasi secara haram di Pulau Pinang termasuk di tanah persendirian dan tanah kerajaan yang kebanyakannya dijalankan di Seberang Prai.

"Angka ini adalah dari sumber yang saya terima, oleh itu saya menggesa kedua-dua pihak berkuasa tempatan untuk tampil mendedahkan jumlah sebenar kewujudan kilang haram sudah beroperasi di negeri ini.

"Kami memberi mereka tempoh masa dua minggu atau kami akan mengemukakan maklumat terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diambil tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media di pejabatnya di Georgetown, hari ini.

Rahmad berkata, dia mahu PBT itu memberikan maklumat secara terperinci tahun bila kilang itu beroperasi secara haram.

"Ini disebabkan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang yang mengatakan bahawa semua bangunan, penjaja dan kuil yang dibina secara haram sebelum 2008 tidak akan diambil tindakan melainkan ia memberi kesan kepada laluan trafik dan penduduk di sekelilingnya.

"Kami mahu mereka menyatakan berapa banyak yang ditubuhkan sebelum dan selepas tahun 2008 dan tidak akan teragak-agak meminta SPRM melakukan satu lagi serbuan terhadap kedua-dua pihak berkuasa tempatan ini," katanya.

Semalam Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh bersama dua beranak yang juga pengarah dan pengurus kilang ditahan reman selama lima hari bermula semalam susulan siasatan terhadap operasi sebuah kilang haram di atas tanah pertanian di Sungai Lembu, Penanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 2:49 PM