HASNURUL Hani bersama anak-anaknya memperagakan gaun yang direka khas dalam Program Shah Alam Tanpa Kenderaan 2017. FOTO oleh Muhammad Sulaiman dan Faliq Lajim
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


IBU bersama tiga anaknya mencuri perhatian ramai apabila berpakaian dengan tema Jalur Gemilang pada Program Shah Alam Tanpa Kenderaan 2017 kali keenam hari ini.

Hasnurul Hani Saidi, 38, berkata, pakaiannya itu direka khas bagi menyemarakkan lagi Hari Kemerdekaan tidak lama lagi.

"Apa yang saya buat ini kecil saja dan saya berharap dengan usaha ini dapat menyemarakkan lagi orang ramai mahupun dijadikan contoh untuk sama-sama memeriahkan sambutan kemerdekaan negara," katanya.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad sebelum itu melancarkan program berkenaan.

Pakaian sekeluarga yang menarik itu dipilih memenangi Pertandingan Pakaian Beragam Terbaik bertemakan Hari Kemerdekaan yang diadakan dalam program itu sekali gus membawa pulang hadiah berupa barangan perhiasan.

Sementara itu, Ahmad Zaharin berkata, pihaknya teruja apabila program itu mendapat sambutan lebih 1,000 peserta.

"Program ini diadakan khas bagi mengurangkan pelepasan gas karbon monoksida yang boleh mencemar alam sekitar.

"Dalam program ini orang ramai menggunakan basikal, papan luncur, hover board, berjalan kaki dan skuter blade di sekitar kawasan pusat bandar raya sepanjang lima kilometer bermula dari Dataran Kemerdekaan," katanya yang turut memberi sokongan dengan berjalan kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 3:36 PM
Teruskan ke laman Harian Metro »