Najib (tengah) bersama barisan kepimpinan UMNO negeri menyanyikan lagu Jalur Gemilang pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Katil di MITC Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
Salman Hamat dan Mohd Hilmie Hussin
am@hmetro.com.my


AHLI UMNO Bahagian Bukit Katil dicabar merampas semula kerusi parlimen itu daripada pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak berkata, kerana tidak ada sifat wala (kesetiaan kepada pemimpin) menyebabkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru turut terlepas ke tangan pembangkang pada PRU lalu.

"Kita lihat refleksi, dulu Allahyarham Tun Ghafar Baba menjadi simbol ketaatan sepanjang hayat dan perjuangan sejati kepada parti.

"Allahyarham pernah kata jawatan tak penting yang penting adalah parti, inilah sifat perlu ada dalam diri kita semua, lebih lagi nak berjuang tebus maruah Bukit Katil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Katil di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Idris Haron dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Najib berkata, sikap kesetiaan pada parti juga ada pada Mohd Ali kerana terus berkhidmat walaupun tidak dilantik memegang sebarang jawatan dalam politik.

Ketika mengakhiri ucapannya Najib, turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada UMNO Bukit Katil bagi digunakan untuk membaiki rumah golongan kurang berkemampuan dan aktiviti kebajikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 4:25 PM