Antara bot nelayan yang digunakan bagi mencari Zakaria . FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


PENEMUAN topi berwarna biru berhampiran kawasan pukat dipasang menguatkan lagi kemungkinan nelayan, Zakaria Omar, 58, terjatuh ke dalam laut.

Penduduk, Ramli Muda, 52, yang melancarkan gerakan mencari nelayan terbabit menemui topi yang dipakai mangsa, kira-kira 7.15 petang ini.

Katanya, topi yang ditemui itu terapung berhampiran pukat yang ditahan mangsa dan penemuan itu menguatkan bukti mangsa terjatuh ke dalam laut.

"Dia sentiasa memakai topi itu setiap kali turun ke laut dan tadi ketika bertemu di laut topi inilah yang dipakainya.

"Saya percaya dia terjatuh ke dalam laut ketika sedang menarik pukatnya," katanya ketika ditemui di pengakalan nelayan Kampung Jambu Bongkok, malam ini.

Zakaria, 58, yang keluar menahan pukat di laut, kira-kira jam 6 pagi namun tidak pulang ke rumah selerti kebiasaannya.

Isterinya, Farimah Ibrahim, 50, kemudian pergi ke pengkalan nelayan mencarinya sebelum memaklumkan kepada nelayan lain yang bertindak melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

Bagaimanapun bot gentian kaca yang dinaiki mangsa itu ditemui tersadai di tepi pantai dekat Kampung Rantau Abang, kira-kira 6.30 petang.

Sementara itu, sebanyak 20 bot nelayan digunakan bagi mencari Zakaria.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Hasan Embong berkata, operasi yang disambung pagi ini disertai seramai 148 anggota dari pelbagai jabatan termasuk penduduk kampung.

"Operasi pencarian di laut dilakukan dalam jarak tiga kilometer ke kawasan barat dan timur dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

"Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) juga membuat pencarian di pesisir pantai sehingga ke Kuala Abang," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, sehingga 4 petang hari ini, mangsa masih lagi belum ditemui.

Berita berkaitan:

Lima bot cari Zakaria

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 5:16 PM