Muhammad Huzaiman menghidap kanser neuroblastoma tahap empat. FOTO ihsan Siti Hafizah
Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


"KALAU dapat menampung kos perubatan saja pun saya sudah bersyukur kerana insya-Allah, untuk kelengkapan harian kami boleh sediakan." kata seorang ibu, Siti Hafizah Nawawi, 31, yang ingin memohon bantuan perubatan untuk anak keduanya, Muhammad Huzaiman Azrol, 1, yang menghidap kanser neuroblastoma tahap empat.

"Buat masa sekarang pihak hospital tahu saya tidak mampu, jadi hanya minta saya bayar kos perubatan saja. Mereka minta saya mohon daripada mana-mana pihak dahulu, selesai rawatan, baru mereka beri bil keseluruhan.

"Ada dua bil diberikan, satu RM100,000 iaitu anggaran keseluruhan dan kedua, RM30,000 iaitu anggaran kos rawatan untuk setahun termasuk lapan kali kimoterapi dalam masa 80 hari," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Siti Hafizah dan suami, Azrol Md Sahat, 37, masing-masing bekerja sebagai kerani di syarikat swasta tinggal menyewa rumah di Taman Kem Pelabuhan Klang.

"Kanser ini dikesan apabila dua bulan lalu anak saya kerap demam dan selepas pemeriksaan darah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang mendapati ada kuman dalam darah.

"Apabila buat imbasan Imej Resonan Magnetik (MRI), baru dapat kesan ada kanser dalam perut dan anak saya dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras. Sesi kimoterapi pertama akan dilakukan pada Sabtu ini," katanya.

Buat masa ini Siti Hafizah mengambil cuti sejak 29 September lalu untuk menjaga Muhammad Huzaiman dan dia bersyukur majikannya memahami keadaannya sekeluarga.

Neuroblastoma adalah sejenis kanser yang jarang ditemui yang boleh berkembang daripada neuroblasts atau sel-sel saraf yang belum matang yang terdapat pada kanak-kanak.

Kepada yang ingin membantu, boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank CIMB atas nama Siti Hafizah Nawawi - 7009173371.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 10:00 PM
Teruskan ke laman Harian Metro »