Tiga penganggur dibawa anggota polis di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, di sini, hari ini. FOTO Amran Yahya
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Amran Yahya
am@hmetro.com.my


TIGA penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan berasingan kerana memiliki heroin dan methamphethamine di Tengkek, di sini, awal bulan ini.

Tertuduh, Nizam Nasir, 40, Norzaidi Mohd Yunus, 45 dan Muhammad Izwan Kadir, 29 membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Alau'ddin Baharom.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Nizam didakwa memiliki dua paket plastik mengandungi heroin seberat 25.8 gram (g) di ladang kelapa sawit Kampung Tampin Pus, Tengkek, 9.20 pagi pada 5 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan kedua, Norzaidi dan Muhammad Izwan didakwa memiliki sepeket plastik yang mengandungi heroin seberat 52g di bawah surau Nurul Hidayah, Kampung Pijah, Tengkek, 5.15 pagi pada 5 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan seterusnya, Norzaidi dan Muhamamad Izwan turut didakwa memiliki 5g methamphethamine di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mendengar pengakuan tidak bersalah, Alau'ddin menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syahieza Md Hadzaid manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 2:55 PM