KEADAAN trafik sesak ekoran kemalangan pagi ini. FOTO Ihsan pembaca
Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


DUA lelaki maut dalam kemalangan membabitkan empat motosikal berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam menghala pekan ini, 7.30 pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila seorang daripada mangsa terlanggar motosikal lain di hadapan lalu terjatuh ke kanan jalan manakala penunggang yang dirempuh motosikal berkenaan jatuh ke kiri jalan.

Pada masa sama, dua motosikal lagi dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa pertama dan terbalik manakala penunggang motosikal keempat turut terjatuh selepas terlanggar objek atas jalan.

Berikutan itu, seorang daripada mangsa dikenali sebagai Che Sub Saad, 56, kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa kedua, Mohd Fizal Ahmad, 32, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Dua lagi mangsa, Mahendran, 36 dan Mohd Amirul Jamaluddin, 29 yang cedera dikejarkan ke HSJ untuk rawatan.

Difahamkan, Mohd Fizal menunggang Yamaha LC untuk ke tempat kerja di kilang dekat Prai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 3:10 PM