AZMA (Dua kanan) bersama Galloway (dua kiri), Conn (kiri) dan Selvalingam. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Muhammad Saufi Hassan
saufi@hmetro.com.my


NEGARA masih kekurangan doktor pakar terutamanya dalam bidang Urologi dan memerlukan kerjasama dengan institusi pengajian perubatan antarabangsa yang lain bagi mengatasi masalah berkenaan.

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, kekurangan doktor pakar tempatan berlaku kerana kekurangan tempat latihan serta kemahiran.

“Kita mempunyai tenaga pakar yang terhad untuk melaksanakan latihan bagi melahirkan lebih ramai doktor yang mempunyai bidang pengkhususan tersendiri.

“Menyedari halangan ini, KKM mengambil inisiatif untuk menjalinkan usahasama dengan institusi pendidikan serta badan pengamal perubatan antarabangsa.

“Untuk tujuan itu, kita bersetuju supaya satu kerjasama dijalinkan dengan Kolej Diraja Perubatan dan Pakar Bedah Glasgow (FRCSG),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoU) antara Persatuan Urologi Malaysia (MUA) di Hospital Selayang, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Presiden FRCSG, Profesor David Galloway; Ketua Pemeriksa FRCSG, Graeme Conn; dan Presiden MUA, Datuk Dr Rohan Malek.

Dr Azman berkata, kerjasama dengan institusi berkenaan adalah satu inisiatif untuk melahirkan lebih ramai doktor pakar tempatan sekali gus menangani isu kekurangan tenaga pakar.

“Ini adalah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh KKM, terdapat beberapa lagi usahasama lain yang dijalinkan bagi meningkatkan kemahiran doktor tempatan.

“Kita mengharapkan dengan kerjasama ini akan melahirkan lebih ramai doktor pakar dalam pelbagai disiplin sekali gus berkhidmat untuk orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 10:00 PM