GAMBAR hiasanILAL
BERNAMA

AKIBAT terlalu inginkan anak, seorang peniaga hampir kerugian RM7,000 diperdaya kenalan laman sosial Facebook yang kononnya boleh membantu mangsa mendapatkan anak angkat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa, seorang wanita berusia 28 tahun yang sudah berkahwin dihubungi suspek menggunakan nama Fazreen Ismail, memaklumkan dia ada sepasang anak kembar lelaki dan perempuan yang baru lahir untuk diberi kepada mangsa.

“Bagi mendapatkan bayi itu, suspek meminta mangsa membayar RM7,000, namun mangsa hanya mampu membayar RM500 sebagai wang pendahuluan.

“Mangsa kemudian memasukkan wang berkenaan ke dalam satu akaun menerusi sebuah bank di Bera pada Ahad lalu,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata apabila mangsa meminta gambar bayi yang dimaksudkan, suspek memberikan gambar bayi yang diambil daripada imej Google.

Beliau berkata, curiga dengan keadaan itu, mangsa menghubungi suspek yang kemudian berjanji berjumpanya di rumah ibu mangsa di Puchong, Selangor, namun Fazreen tidak muncul-muncul dengan memberi pelbagai alasan.

Katanya, mangsa yang berasa ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 10:20 PM
Teruskan ke laman Harian Metro »