DADAH yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Belakang Stesen, Wakaf Bharu, pagi semalam. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


TIGA lelaki termasuk dua beradik dipercayai pengedar dadah, ditahan bersama heroin, syabu dan pil kuda bernilai RM41,082.50 di rumah di Jalan Belakang Stesen di Wakaf Bharu, Tumpat awal pagi semalam.

Dalam operasi 2.15 pagi itu, suspek berusia 26 hingga 30 tahun itu ditahan hasil risikan dan maklumat awam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, ketika serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, kesemua suspek sedang tidur di rumah dua tingkat itu.

"Dua suspek ditahan di tingkat bawah manakala seorang lagi di bilik tingkat atas.

"Pemeriksaan di dalam rumah dan di garaj menemui dadah heroin, syabu dan pil kuda," katanya ketika sidang media di IPD Tumpat hari ini.

Menurutnya, semua suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah termasuk ugut, menggunakan dadah dan mendatangkan kecederaan parah dengan senjata.

"Hasil soal siasat, seorang suspek yang berusia 30 tahun baru dibebaskan Julai lalu selepas dipenjarakan di Thailand selama tiga tahun atas kesalahan dadah.

"Selepas dibebaskan, suspek dikatakan terbabit kegiatan pengedaran dadah di sekitar kawasan Wakaf Bharu kira-kira tiga hingga empat bulan lalu.

Katanya, ujian saringan mendapati dua daripada mereka positif Methampethamine.

"Semua suspek ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 2:36 PM