KEADAAN banjir di KM2 jalan Mersing ke Jemaluang yang dinaiki air dan di tutup kepada kenderaan ringan. FOTO Mohd Sah Muda
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


LIMA pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Mersing bagi menempatkan 203 mangsa daripada 56 keluarga akibat hujan lebat hingga banjir di daerah itu 2.30 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, semua mangsa yang dipindahkan adalah mangsa banjir di Taman Nakhoda, Air Papan, Kampung Tanjung Genting, Kampung Tenglu Besar, Kampung Kelantan, Semanyirm Endau dan Kampung Air Tawar.

"Empat keluarga membabitkan 11 mangsa ditempatkan di PPS Balairaya Taman Nakhoda, 18 keluarga dan 56 mangsa di PPS Sekolah Rendah Air Papan.

"PPS SK Tenglu membabitkan 17 keluarga dan 57 mangsa, PPS Balairaya Serbaguna Kampung Beruang membabitkan seramai 40 mangsa dari enam keluarga dan PPK Endau membabitkan 11 keluarga dan 39 mangsa," katanya dalam kenyataan 6 petang ini.

Ayub berkata, berikutan itu pelbagai agensi keselamatan termasuk pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikerahkan ke tempat kejadian bagi memantau keadaan banjir.

"Turut membantu Pejabat Daerah, bomba, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Polis Diraja Malaysia, penghulu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

Mengulas lanjut katanya, hujan lebat petang semalam turut menjejaskan 51 mangsa dari 14 keluarga di Kampung Segamat Kecil, Labis, Segamat.

"Bagaimanapun PPS di Kampung Segamat Kecil Labis tidak dibuka. Penduduk mempunyai alternatif iaitu berpindah di kawasan yang lebih tinggi sebelum banjir berlaku.

"Sehingga 4 petang tadi air di kawasan halaman rumah mangsa terbabit sudah surut dan mangsa sudah pulang ke rumah masing masing, manakala keadaan terkawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 8:56 PM