ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Endau memindahkan mangsa banjir di kawasan Kampung Kelantan, semalam. FOTO Zul Ikhwan Muhamad
Mohd Sabran Md Sani dan Siti Nor Hidayatidayu Razali
sab@hmetro.com.my


JUMLAH mangsa banjir di Mersing dan Kota Tinggi meningkat kepada 426 orang dari 113 keluarga yang ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu pada 8 pagi, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, jumlah mangsa di Kota Tinggi kini kekal 33 mangsa daripada lapan keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Ramunia dan Surau Sungai Buntu.

Katanya, mangsa banjir di Mersing pula 393 mangsa membabitkan tambahan 105 keluarga.

"PPS Balairaya Taman Nakhoda merekodkan 27 mangsa yang dipindahkan membabitkan lapan keluarga, manakala di PPS SK Air Papan terdapat 28 keluarga dengan 89 mangsa," katanya.

Lima PPS lain yang masih dibuka di Mersing ialah SK Tenglu dengan 17 keluarga dan 61 mangsa; Balairaya Serbaguna Kampung Benaung dengan enam keluarga membabitkan 40 mangsa; PPK Endau menempatkan 39 mangsa daripada 11 keluarga; Sekolah Agama Pengkalan Batu dengan 27 keluarga dan 107 mangsa serta Balairaya Kampung Air Merah terdapat 30 mangsa daripada lapan keluarga.

Di Mersing, sembilan kawasan yang terjejas iaitu Taman Nakhoda, Air Papan, Kampung Tanjung Genting, Kampung Tenglu Besar, Kampung Kelantan, Kampung Air Tawar, Kampung Pengkalan, Kampung Air Merah dan Kampung Jemari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 10:23 AM