JALAN menuju ke rumah penduduk yang dinaiki air di Kampung Air Papan, Mersing. FOTO ihsan APM
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


MANGSA banjir di Segamat dan Mersing, Johor meningkat kepada 127 mangsa membabitkan 32 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) hingga 11 pagi, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, bilangan berkenaan meningkat berbanding 118 mangsa membabitkan 31 keluarga yang ditempatkan di empat PPS berkenaan pada 8 pagi tadi.

Beliau berkata, antara kawasan yang terjejas di Segamat adalah Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Pogoh Tengah.

Menurutnya, 54 mangsa membabitkan 14 keluarga ditempatkan di PPS di Balai Gemerah 4 Balai Badang.

Katanya, manakala 10 mangsa membabitkan dua keluarga ditempatkan di Balairaya Pogoh Tengah.

"Kawasan terjejas di Mersing termasuk Kampung Tenglu Besar dan Kampung Air Papan.

"Seramai 34 mangsa membabitkan lapan keluarga ditempatkan di Balairaya Kampung Tenglu Besar.

"Manakala seramai 29 mangsa membabitkan lapan keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan.

"Manakala pengguna jalan raya dinasihati berhati-hati ketika menggunakan Jalan Telok Arang di Mersing berikutan berlaku runtuhan cerun di situ selain mengakibatkan sebuah lorong ditutup," katanya menerusi kenyataan media.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 5:55 PM