SUNGAI Golok. FOTO arkib NSTP
Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my


PARAS air Sungai Golok di Kelantan sudah melepasi paras amaran berikutan hujan lebat sejak dua hari lalu.

Mengikut laporan publicinfobanjir.water.gov.my, setakat 11 pagi, hari ini, paras Sungai Golok berada pada bacaan 8.73 meter, melepasi paras amarannya iaitu lapan meter.

Selain Sungai Golok, Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang turut melebihi paras amaran pada 58.56 meter, manakala Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai (33.64 meter), Sungai Lebir di Kuala Krai ( 27.42 meter) dan Sungai Kelantan di Kuala Krai (20.49 meter) mencecah paras waspada.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Adni Ibrahim, berkata pihaknya sudah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan cuaca yang tidak menentu.

"Jika hujan lebat masih berterusan banjir dijangka berlaku malah kini beberapa kawasan rendah di sini mula dinaiki air termasuk di Kampung Lanchang, Kampung Jejawi, Kampung Putat Tujuh dan Kampung Tasek Bakong, di sini.

"Oleh itu, penduduk diminta untuk sentiasa bersedia dan mengambil tindakan awal mengemas dan menyimpan dokumen penting bagi menghadapi banjir," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurutnya, kebiasaannya jika paras air Sungai Golok sudah mencapai 10.4 meter, penduduk akan diarahkan berpindah ke tempat yang lebih selamat.

"Bagaimanapun kini, keadaan masih terkawal dan semua jalan utama ke pekan ini masih boleh dilalui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 1:27 PM