SUSPEK diiringi anggota SPRM dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah Seremban bagi permohonan reman. FOTO Adzlan Sidek
Kalidevi Mogan Kumarappa dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my


LIMA lagi individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 8 hingga 10 malam tadi di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan kerana disyaki terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa berhubung pengeluaran kabel dari stor Telekom Malaysia (TM).

Sumber berkata, dalam tangkapan di Kuala Lumpur seorang juruteknik TM ditahan kerana disyaki bersubahat dengan kontraktor dengan mengemukakan 55 dokumen arahan penyelenggaraan yang mengandungi butiran palsu.

Katanya, dokumen palsu itu bertujuan untuk mengeluarkan kabel dari stor TM.

"Suspek berusia 42 tahun itu yang ditahan di SPRM KL kira-kira 10 malam sudah direman selama lima hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bermula hari ini bagi membantu siasatan.

"Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ho Kwong Chin," katanya.

Sementara itu, SPRM Negeri Sembilan sudah menahan empat individu selepas mereka dipercayai bersubahat dengan kakitangan TM dalam pengeluaran kabel dari stor untuk dijual kepada sindiket.

Menurut sumber, mereka yang ditahan adalah tiga juruteknik pemasangan TM dan seorang pembantu makmal sekolah yang juga bekerja sebagai juruteknik pemasangan sambilan.

Katanya, semua yang berusia antara 23 hingga 32 tahun itu ditahan di SPRM Johor kira-kira 10 malam semalam sebelum dibawa ke SPRM Negeri Sembilan.

"Empat suspek itu sudah direman selama tujuh hari di Mahkamah Khas Rasuah Seremban, hari ini bagi membantu siasatan.

"Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Emysuriana Ahmad," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan semua tangkapan itu.

Tambah beliau, semua mereka ditangkap susulan daripada 12 individu yang ditahan pada Rabu lalu berhubung isu pengeluaran kabel dari stor TM secara tidak sah.

"Siasatan masih sedang berjalan dan kami dalam proses mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai boleh membantu siasatan kes ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 2:03 PM