Kemalangan mengorbankan remaja 21 tahun berdekatan Sekolah Latihan Anak Bukit menghala ke pusat bandar di Alor Setar, hari ini. FOTO ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


REMAJA berusia 21 tahun maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan bergesel dengan motosikal lain yang diletakkan di kiri jalan berdekatan Sekolah Latihan Anak Bukit menghala ke pusat bandar di Alor Setar, hari ini.

Kejadian berlaku pada 3.15 pagi ketika mangsa, Muhammad Shazwan Saidin dari Kampung Bukit Raya Dalam Mukim Bukit Raya, Pendang dalam perjalanan dari Kepala Batas menghala ke arah Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan dan bergesel dengan motosikal milik Sulaiman Abd Ghani, 55, dari Kampung Gunung Keriang Mukim Gunung, Alor Setar.

Beliau berkata, Muhammad Shazwan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialaminya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang dengan cuai sehingga menyebabkan kematian. Bagaimanapun siasatan kes ini masih diteruskan," katanya.

Jenazah mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 3:41 PM