Mahdzir (berdiri tengah) bergambar bersama ibu-bapa dan murid selepas pada Majlis Penyampaian Sumbangan Baucar Peralatan Sekolah di Dewan Tun Syed Ahmad, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Syed Ahmad. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


PELAKSANAAN konsep Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) bagi fasa pertama membabitkan 2,000 bilik darjah di beberapa sekolah terpilih seluruh negara dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya menjelang Mac depan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, PAK-21 kini sedang dilaksanakan secara berperingkat di beberapa sekolah dengan Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya, Sekolah Dato Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah, di Seremban dan Bandar Enstek, Negeri Sembilan menjadi perintis program itu.

Beliau berkata, pelaksanaan PAK-21 yang menjadi elemen penting Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) itu dilaksankan menerusi peruntukan kerajaan sebanyak RM190 juta dalam Bajet 2018.

"Peruntukan ini disalurkan bagi pembinaan bilik darjah abad ke-21 di sekolah rendah dan menengah kebangsaan termasuk di SJKT/SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil) seluruh negara.

"Kita akan salurkan peruntukan ini kepada negeri-negeri untuk memilih sekolah yang bakal dibina bilik darjah Abad ke-21 ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Baucar dan Peralatan Sekolah di Sekolah Menengah Dato Syed Ahmad, Padang Terap, hari ini.

Dalam perkembangan sama Mahdzir berkata, pihaknya difahamkan ada sekolah turut menerima sumbangan peruntukan daripada Persatuan Ibu bapa dan Guru, alumni sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta dalam memulakan kelas PAK-21.

"Sekolah-sekolah ini sudah menaik taraf bilik darjah biasa kepada bilik darjah abad ke-21.

"Saya mengalu-alukan sumbangan ini dan antara syarikat berkaitan kerajaan yang menjadi rakan strategik kementerian bagi pelaksanaan program ini adalah Telekom Malaysia," katanya.

Pada program sama Sekolah Menengah Dato Syed Ahmad turut menerima sumbangan kemudahan Internet jalur lebar 100 megabait sesaat daripada TM.

Mahdzir turut menyaksikan gimik pembelajaran kelas interaktif dalam talian selain mengadakan sidang video dengan guru Sekolah Tun Fatimah,Johor.

Tahun lalu beliau mengumumkan kerajaan merancang memperluas konsep pembelajaran itu ke semua sekolah dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang membabitkan sekolah bandar dan luar bandar bergantung kepada kemudahan prasarana Internet yang disediakan.

Konsep pembelajaran itu membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi lebihinteraktif dengan penggunaan papan pintar dan peranti, seterusnya meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 8:25 PM