AIR yang masih naik di Air Papan, Mersing. FOTO Mohd Sah Muda
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


SEKOLAH Kebangsaan (SK) Punan, Kluang, ditutup hari ini berikutan laluan utama memasuki ke sekolah berkenaan terputus akibat gelombang kedua banjir di negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata SK Ladang Mutiara dan SK Seri Sedohok turut terputus hubungan, namun aktiviti sekolah berjalan seperti biasa.

Katanya, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di SK Punan melapor diri di SK Batu 3, Kluang.

"SK Ladang Mutiara pula merekodkan empat guru berada di sekolah, 11 guru dan tiga APK melapor diri di SK Kahang. Dua guru dan seorang APK lapor diri di SK Ladang Tereh.

"SK Seri Sedohok terdapat 11 guru dan enam APK berada di sekolah, manakala tiga guru wanita melapor diri di SK Kahang," katanya.

Sementara itu katanya terdapat 1,395 mangsa dari 376 keluarga ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah dilanda banjir di negeri ini sehingga 8 pagi ini.

Katanya, daerah terjejas banjir itu membabitkan Segamat, Mersing dan Kota Tinggi.

"Kawasan terjejas di Segamat adalah Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh Tengah, Kampung Tekam dan Pusat Aktiviti Belia Kampung Tekam.

"Enam kampung terjejas di Mersing adalah Kampung Tenglu Besar, Kg Air Papan, Kg Baru Jemari, Kg Sg Muka Dua, Kg Orang Asli Labong dan Kg Air Merah," katanya.

Bagi daerah Kota Tinggi membabitkan Kg Perepat dengan mangsa banjir ditempatkan di PPS Balairaya Kg Perepat yang dibuka 1.30 tengah hari semalam.

Sementara itu katanya, Daerah Mersing ke Jalan Telok Arong (J214) ditutup semua untuk lalu lintas akibat runtuhan cerun.

"Laluan alternatif Jalan Tanjung Resang (J183) - Jalan Mersing/Endau (FT003) dan Jalan Air Papan (J79).

"Kawasan terputus hubungan adalah Kg Batu 7 Jementah di Segamat," katanya pemantauan berterusan oleh agensi dan pejabat daerah dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 10:21 AM