ANGGOTA dan pegawai polis memeriksa pengunjung di sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang awal pagi tadi. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


POLIS menahan 24 individu dipercayai positif dadah dalam serbuan di pusat hiburan di Bukit Bintang, awal pagi semalam.

Serbuan kira-kira 2 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selepas menerima maklumat awam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, individu berkenaan adalah pengunjung pusat hiburan terbabit, positif dadah jenis methaphetamine dan ketamin selepas ujian air kencing dijalankan terhadap mereka.

"Serbuan turut merampas 12.56 gram serbuk putih dipercayai dadah jenis ketamin di pusat hiburan berkenaan.

"Seramai 31 pengunjung turut diperiksa ketika mereka sedang berhibur di pusat hiburan berkenaan," katanya.

Mazalan berkata, daripada jumlah tangkapan itu, lapan daripadanya adalah warganegara China turut positif dadah.

"Semua tangkapan dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 2:18 PM