PENGERUSI Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia, Datuk Dr Mashitah Ibrahim melawat tempat kebakaran pondok bersama dengan Mudir Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir, Mohd Jalaluddin Asayuti Mohamed, 49 selepas menyampaikan sumbangan pakaian dan kitab ketika lawatannya di Pondok tersebut. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


DUA RATUS pelajar Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir, Kota Bharu bakal menerima bangunan baru bagi menggantikan pondok yang terbakar, 28 Disember lalu.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, rancangan pembinaan itu dimasukkan dalam pelan kerajaan untuk menambah baik infrastruktur dan aspek keselamatan institusi pondok negara ini.

"Kita maklum keadaan madrasah ini dan hari ini saya turun padang untuk melihat sendiri keperluannya untuk tindakan segera.

"Kerajaan prihatin dengan institusi pondok dan memperuntukkan RM50 juta dalam pembentangan Bajet 2018 untuk menambah baiknya.

"Insya-Allah untuk Madrasah Muhammadiah ini, kita sudah ada kebenaran untuk membina bangunan asrama yang baru, dijangka dimulakan tahun ini," katanya pada sidang media di madrasah itu, hari ini.

Terdahulu, Dr Mashitah menyampaikan sumbangan kepada pelajar termasuk pakaian, kitab dan barangan keperluan harian.

Sementara itu, Mudir Pondok, Mohd Jalaluddin Asayuti Mohamed menyifatkan kejadian yang berlaku membawa hikmah tersendiri dan membuka mata banyak pihak untuk membantu.

"Sejak tragedi itu, sumbangan yang diterima tidak putus dan ramai yang prihatin tampil untuk beri sokongan.

"Terima kasih kepada yang membantu dan kehadiran YPPM hari ini merupakan satu rahmat buat kami di sini," katanya.

Pada 7.45 malam, 28 Disember 2017, sebanyak 14 pondok di Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir, Kota Bharu terbakar menyebabkan penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

Ketika kejadian, semua penghuni sedang membaca Yassin di masjid berdekatan.

Berita berkaitan

14 pondok Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir musnah terbakar [UPDATE]

[UPDATE] Nampak api ketika baca Yasin [METROTV]

[UPDATE] Madrasah kerugian RM30,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 2:54 PM