Dua lelaki yang tersesat ketika mendaki bukit ditemui selamat oleh pasukan bomba. FOTO ihsan bomba
Nasrawati Syarifuddin
hmkk@hmetro.com.my


DUA lelaki meminta bantuan pasukan bomba dan penyelamat selepas gagal turun apabila terpisah dari kumpulan ketika mendaki Bukit Panchang, Jalan Apas, Tawau, tengah hari ini.

Mohammad Amirul Mohammad, 17, dan Mohd Hasrul Huswali, 22, yang keletihan dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, mereka bersama beberapa rakan mula mendaki kira-kira 6 pagi dan ketika menuruni bukit, mangsa terpisah dari kumpulan.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan daripada mangsa pada 11.25 pagi sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Pada 1.13 tengah hari, kedua-dua mereka ditemui," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ketika ditemui, mereka kelihatan lemah dan lesu.

"Mereka diberi minum dan diarah berehat seketika sebelum dibantu menuruni bukit.

"Siasatan mendapati, ketika menuruni bukit, mangsa terpisah dari kumpulan dan dalam perjalanan balik mereka tidak dapat meneruskan kerana kepenatan sebelum meminta bantuan bomba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 4:43 PM