SEKELUARGA di Kampung Cik Wok Sri Pantai tinggal sehelai sepinggang apabila rumah sewa mereka diami musnah dalam kebakaran. FOTO Mohd Sah Muda
Mohd Sah Muda
am@hmetro.com.my


KELUARGA di Kampung Cik Wok Sri Pantai, Mersing, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah sewa yang mereka diami musnah dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa Saripah Md Dali, 43, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barangan rumah ketika tiba di rumahnya itu sebaik menerima panggilan telefon yang memaklumkan tentang kebakaran itu.

“Saya mendapat panggilan telefon daripada rakan yang memaklumkan kebakaran itu ketika saya di sekolah. Saya sangat terkejut dan terus bergegas pulang ke rumah.

"Apabila tiba di rumah, saya mendapati api terlalu marak dan tidak dapat menyelamatkan apa-apa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Saripah berkata, buat sementara waktu, dia terpaksa menumpang di rumah ibunya, Zaini Raub, 62, yang terletak di Kilometer 7, Jalan Mersing - Jemaluang, Mersing.

Dia yang bertugas sebagai pembantu pejabat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anjung Batu, Mersing berkata, walaupun semua barangan berharga dan dokumen penting musnah, namun dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Ketika kejadian, tiga anak saya yang berusia lapan hingga 11 tahun berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pantai dalam darjah dua, lima dan enam," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Sarhan Akmal Mohamad berkata, sebaik mendapat panggilan kecemasan pada 8.34 pagi, enam anggota yang diketuai Penyelia Pasukan Amir Hamzah Aris dengan satu jentera dan sebuah ambulans bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, rumah papan beratapkan zink itu sudah terbakar hampir 90 peratus sebelum musnah 100 peratus.

"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 5:31 PM