Syahril Sabtu, 29 (tengah) menceritakan kejadian lemas rakannya, Mohamad Aszuan Mohamad Nasir, 28, di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi. - Foto HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


“SEBELUM kejadian, Mohamad Aszuan teruja bergambar dan mandi bersama saya dan dua lagi rakan di telaga pertama,” kata Syahril Sabtu, 29, rakan Mohamad Aszuan Mohamad Nasir, 28, yang lemas ketika mandi di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi, hari ini.

Syahril berkata, walaupun kejadian lemas membabitkan rakan karibnya itu berlaku di depan mata, namun mereka bertiga tidak berupaya menyelamatkan mangsa kerana semua tidak tahu berenang.

“Saya nampak arwah melambai tangan meminta tolong ketika timbul sejurus dia tergelincir,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Langkawi (HL).

Menurutnya, mereka berempat termasuk Mohamad Aszuan yang bekerja di sebuah kilang di Batu Berendam, Melaka, bercuti di pulau itu Jumaat lalu dan dijangka pulang hari ini.

“Mohamad Aszuan duda dan ada seorang anak berusia dua tahun,” katanya.

Menurut Syahril, jenazah Mohamad Aszuan yang berasal dari Felda Keratong, Pahang akan dibawa pulang ke Kuala Selangor, Selangor untuk dikebumikan di kampung neneknya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan turut melawat jenazah mangsa dan menemui rakan-rakan mangsa di Unit Forensik HL

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 6:18 PM