Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tengah) bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Nogeh Gumbek (tiga kiri) dan Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Datuk Samsolbari Jamali menanam benih nanas baka MD2 (gambar kanan) di Ladang Kampung Padang Pan Bau, Sarawak. - Foto SUPIAN AHMAD
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

KERAJAAN negeri Sarawak yakin projek pertama tanaman nanas premium varieti MD2 mampu meningkatkan produktiviti sekali gus menjadi hab pengeluaran nanas MD2 terbesar negara.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dengan ruang dan peluang pasaran sangat besar untuk Varieti MD2, Sarawak berpotensi memenuhi permintaan pasaran melalui perluasan kawasan penanaman dengan sumber tanah sedia ada yang luas serta kos tenaga buruh yang murah.

“Sarawak mempunyai kelebihan bagi jarak pengeksportan yang lebih dekat ke China melalui pelabuhan dengan anggaran masa lima hari berbanding melalui Pelabuhan Klang yang mengambil masa 11 hari.

“Saya yakin, sasaran 3,500 hektar mampu dicapai menjelang 2020 dengan sokongan serta peruntukan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

"Daripada 3,500 hektar ini, 800 hektar disasarkan untuk tanaman MD2," katanya berucap merasmikan Majlis Pelancaran Projek Perintis Tanaman Nanas Premium Negeri Sarawak di Kampung Padang Pan, Bau, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Nogeh Gumbek serta Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Datuk Samsolbari Jamali.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata,

Sarawak memberi sumbangan paling besar dalam sektor pertanian negara iaitu RM14.7 bilion pada 2016 berbanding RM11.8 bilion pada 2010.

"Sektor pertanian akan dimajukan dengan lebih agresif melalui peruntukan RM223 juta bagi 2018 melalui bajet kerajaan negeri dan ini tidak termasuk bajet sektor pertanian 2018 daripada Kerajaan Persekutuan.

"Ia termasuk pembangunan sektor industri nanas yang mula berkembang di Sarawak sejak kemasukan LPNM ke negeri ini pada 2010,” katanya.

Sementara itu, Samsolbari berkata, pada 2020, Sarawak akan menjadi hab pemasaran nanas MD2 khususnya ke China serta mampu membekalkan 100 kontena sebulan dengan anggaran nilai eksport RM6 Juta.

Beliau berkata, ia juga dapat meningkatkan pendapatan pengusaha nanas MD2 kepada RM5,000 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 6:35 PM