Penerima bantuan RM100 bagi pembukaan akaun SSPN yang disediakan PTPTN untuk murid di Pulau Pinang menerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BIKUM) serta Biro Kebajikan UMNO Negeri dan Bahagian negeri itu. - Foto SADDAM YUSOFF
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my


KERAJAAN memperuntukkan lebih setengah juta ringgit bagi membantu kira-kira 5,000 pelajar sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan sekitar Pulau Pinang untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, peruntukkan RM100 seorang itu disediakan menerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BIKUM) serta Biro Kebajikan UMNO Negeri dan Bahagian di negeri berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi BIKUM berkata, kerajaan komited menyediakan peluang pendidikan terbaik untuk rakyat dan bantuan pembukaan akaun SSPN itu diharap sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa merancang pendidikan anak masing-masing.

“Ibu bapa perlu mengambil peluang pembukaan akaun SPPN itu untuk menabung demi masa depan anak mereka,” katanya berucap pada majlis penyampaian bantuan berkenaan di Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Bantuan diserahkan kepada wakil bahagian dan hadir sama, Ketua UMNO Bukit Gelugor, Datuk Omar Faudzar serta Pengurus Besar PTPTN Pulau Pinang, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Pada majlis yang sama, Shamsul turut mengumumkan bantuan pembukaan akaun SSPN bernilai RM200 seorang kepada 60 anak yatim dari Wisma Yatim Jalan Scotland.

Pada program yang sama di Balik Pulau, 1,300 kit barangan keperluan harian serta sumbangan wang tunai diserahkan kepada ibu tunggal dan golongan memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 9:28 PM