HAMZAH menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan KPDNKK 2018. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


MESYUARAT pertama Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang penubuhannya diumumkan kerajaan pada Disember lalu akan diadakan selewat-lewatnya Februari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penubuhan majlis yang diumumkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 itu akan membabitkan lima kluster iaitu pendidikan, pengangkutan, utiliti serta makanan dan minuman.

"Mesyuarat ini akan hanya bermula selepas semua anggota yang dilantik di bawah lima kluster berkenaan menerima surat pelantikan dan bermesyuarat dengan pengerusi dibawah kluster masing-masing.

"Nama setiap pengerusi akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi majlis berkenaan.

"Kita mahu pastikan penubuhan majlis ini boleh diguna pakai dalam tempoh yang panjang dan bukan hanya untuk masa tertentu sahaja," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KPDNKK 2018 di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Datuk Henry Sum Agong dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Jamil Salleh.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2017, kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara dalam usaha menangani peningkatan kos sara hidup selepas beberapa perwakilan negeri mengetengahkan permasalahan itu.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, semua kluster yang diwujudkan mempunyai peranannya tersendiri bagi memastikan ia menepati tujuan dan matlamat majlis itu ditubuhkan.

"Sebagai contoh kluster pendidikan yang dapat memberi pendedahan awal terutama kepada golongan muda mengenai pelbagai perkara berkaitan kepenggunaan termasuk tanggungjawab sebagai pengguna serta konsep permintaan dan bekalan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kira-kira 30 kawasan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sudah mula melaksanakan Program Jualan Sentuhan Rakyat 2018.

"Program ini adalah kerjasama KPDNKK dengan pemimpin kawasan untuk memberi peluang kepada rakyat menikmati harga lebih rendah dari pasaran bagi barangan keperluan harian seperti sayur, ayam dan ikan.

"Kita memberi kebebasan kepada pemimpin kawasan untuk mencorak sendiri konsep Program Jualan Sentuhan Rakyat 2018 mereka.

"KPDNKK akan menyediakan khidmat pemborong barangan keperluan harian atau sebarang keperluan untuk membantu menjalankan program berkenaan,"

FOTO Mohd Fadli Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 9:54 PM