RADZI (kanan) bertanya khabar kepada Maizul Rosmawati sambil diperhatikan abangnya Meor Syairul Akmal (tengah) di Jabatan Kecemasan Hopital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh. FOTO Muhammad Apendy Issahak. Mohd Zawawi (gambar kecil)
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


KEADAAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol Mohd Zawawi Hassan, 41, yang dilaporkan tidak sedarkan diri kerana terjatuh di rumahnya di Kampung Tebuk Panchur, Bagan Serai, pagi tadi kini stabil.

Bagaimanapun, beliau yang menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh perlu menjalani pembedahan segera bagi membuang pendarahan di kepalanya.

Difahamkan, Mohd Zawawi sudah sedarkan diri, namun doktor memberikannya ubat penenang supaya dapat berehat dan mengelak pendarahan lebih teruk di kepala.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata, wakil rakyat itu mengalami pendarahan dalam kepala sebelah kanan yang dipercayai berpunca akibat tekanan darah tinggi.

“Mohd Zawawi mengalami tekanan darah tinggi dengan bacaan melebihi 200 hingga menyebabkannya jatuh dan tidak sedarkan diri.

“Isterinya Maizul Rosmawati Meor Ibrahim, 40, yang berada di rumah ketika itu menghantarnya ke Hospital Taiping dan pemeriksaan mendapati berlaku pendarahan di dalam kepala.

“Beliau kemudian dipindahkan ke HRPB untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan HRPB, Ipoh.

Turut hadir, ADUN Sungai Rapat Radzi Zainon.

Sementara itu, Maizul Rosmawati berkata, kejadian berlaku pada 11.30 pagi ketika suaminya sedang di dalam bilik air.

“Saya dengar bunyi bising dalam bilik air dan menyangka suami sedang membasuh bilik air berkenaan dan kemudian bunyi itu senyap.

“Ketika ingin memandikan anak bongsu, saya mengetuk pintu bilik air namun tiada jawapan membuatkan saya rasa pelik dan cuba menolak pintu tetapi berasa seperti ada benda yang menyekat pintu.

“Apabila berjaya buka pintu sedikit, saya terkejut melihat suami dalam keadaan tertiarap atas lantai dan kepalanya berada pada bekas mandi bayi serta seperti tidak sedarkan diri,” katanya.

Katanya, dia kemudian memapah suaminya keluar dari bilik air dan membaringkannya atas tilam, namun Mohd Zawawi muntah beberapa kali membuatkan dia menghubungi saudara terdekat untuk membantu menghantarnya ke hospital.

“Beberapa hari sebelum ini suami ada mengadu pening, sakit kepala dan badan serta penat akibat menghadiri pelbagai program termasuk kuliah dan mesyuarat sebelum pulang rumah pada 1 pagi hari ini.

“Suami juga menghantar anak ke sekolah sebelum kejadian dan hari ini dia tiada apa-apa program,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia 14 bulan, tujuh dan 15 tahun.

Katanya, sepanjang pengetahuannya Mohd Zawawi tidak pernah membuat pemeriksaan kesihatan dan mengetahui menghidap penyakit berkenaan.

“Mungkin kerana terlalu penat dan tekanan kerja membuatkan suami diserang darah tinggi dan perkara itu kali pertama berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 8:18 PM