RUMAH Allahyarham Sharifah Aini yang ingin dijual di Petaling Jaya.
HM Digital

Petaling Jaya: “Iya betul, ini rumah Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan memang hendak dijual,” kata seorang individu yang ditemui berada di rumah berkenaan di Petaling Jaya, di sini, semalam, mengenai iklan kediaman itu dijual.

Menurutnya, rumah itu hendak dijual oleh anak Allahyarham berikutan ia sangat besar buat mereka sekeluarga.

“Tiada sebab lain melainkan ia terlalu besar untuk dihuni dan ia sudah diserahkan kepada ejen rumah untuk menjualnya,” katanya yang enggan dikenali.

Tinjauan NSTP ke rumah berkenaan semalam mendapati ia masih dihuni dan tiada sebarang papan tanda atau kain rentang yang tertulis untuk dijual.

Cubaan bertemu anak Allahyarham iaitu Aliff Omar Ali gagal kerana menurut individu berkenaan, dia hanya akan memberi kerjasama kepada mereka yang ingin berurusan mengenai rumah berkenaan.

“Maaf ya kalau ditanya soal lain rasanya tuan rumah tidak berminat tetapi untuk membeli rumah ini mungkin dia boleh memberi kerjasama,” katanya.

Terdahulu, sebuah laman di Facebook menyiarkan iklan mengenai rumah banglo mewah di Petaling Jaya hendak dijual dengan harga RM8 juta.

Pada iklan berkenaan turut ditulis rumah itu adalah kepunyaan seorang penyanyi popular Malaysia.

Dalam pada itu, bekas suami Allahyarham Sharifah Aini, Ali Bakar ketika dihubungi berkata, dia tidak tahu menahu mengenai penjualan rumah itu.

“Saya sudah lama tidak ada hubungan dengan arwah, rasanya tidak manis jika saya terlalu banyak memberi komen.

“Lagipun soal penjualan rumah ini adalah perkara yang peribadi,” katanya.

Ali berkata, Aliff sendiri tidak ada bercakap apa-apa mengenai penjualan rumah itu, oleh itu dia tidak mahu mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 6:46 AM