LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@mediaprima.com.my


DUA lelaki tempatan berusia 20-an ditahan bagi membantu siasatan kematian Tan Chi Ann, 47, akibat ditikam dalam kejadian di Taman Sutera, Yong Peng, Batu Pahat, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, suspek ditahan ditahan di Yong Peng pada 1.30 tengah hari ini dan polis percaya mereka serta mangsa saling mengenali.

“Polis percaya penahanan kedua-dua suspek terbabit boleh membantu siasatan kes mangsa yang maut selepas ditikam dengan senjata tajam di dada hingga menembusi jantung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat keluarga mendiang Chi Ann di Pertubuhan Kebajikan Yu Ai di Yong Peng, Batu Pahat, hari ini.

Dalam kejadian itu, tukang masak berkenaan cuba mempertahankan beg tangannya daripada diragut penjenayah, namun maut akibat ditikam.

Mangsa baru saja pulang kerja dan sempat menziarahi ibunya di kawasan berdekatan sebelum meneruskan perjalanan menuju rumahnya di Ang Lok Yuan, Yong Peng.

Berita berkaitan

Tragedi kena samun

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 5:26 PM