AZWANDDIN (kanan) menunjukan laporan ketika sidang media. FOTO Syarafiq Abd Samad
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Faris Fuad
bhnews@bh.com.my


PERTUBUHAN Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini mendakwa menyerahkan 40 dokumen tambahan bagi membantu siasatan polis terhadap dakwaan berhubung kemasukan wang hampir RM3 juta ke dalam akaun portal, The Malaysian Insight (TMI).

Presiden JMM, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, polis mengambil masa dua jam mulai 11 pagi, untuk mengambil keterangannya berhubung dokumen yang diserahkan itu.

“Siasatan kes ini dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas di Bukit Aman kerana membabitkan individu tergolong dalam kumpulan orang kenamaan.

“Selepas memberi keterangan selama dua jam, saya berpuas hati dengan komitmen polis dalam hal ini, mereka sangat efisyen.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan akan menyelesaikan isu berbangkit dalam tempoh terdekat,” katanya selepas memberi keterangan dan menyerahkan dokumen itu, hari ini.

Pada 4 Februari lalu, JMM membuat laporan polis terhadap TMI, kerana mengesyaki portal terbabit menerima dana asing bagi tujuan menjatuhkan kerajaan


FARIDAH Begum (kiri) dan Raja Petra Kamarudin (kanan). FOTO arkib NSTP

Sementara itu, polis masih menyiasat laporan dibuat isteri Peguam Negara, Puan Sri Faridah Begum Abdullah, berhubung penulisan Raja Petra Kamarudin di portal Malaysia Today.

Raja Petra menerusi beberapa artikel, mendakwa suami Faridah, Tan Sri Muhammad Apandi Ali, dipengaruhi oleh pihak luar di dalam membuat keputusan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menimbangkan semua kemungkinan dari pelbagai sudut.

Beliau tidak menolak kemungkinan memanggil saksi memberi keterangan jika wujud keperluan berbuat demikian.

“Siasatan dikendalikan Unit Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)," katanya ketika dihubungi.

ini.

Semalam, Faridah membuat laporan polis berkaitan penulisan itu di Balai Polis Sri Hartamas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 8:21 PM