ANGGOTA bomba mengangkat mayat warga emas ditemui rentung dalam kebakaran di Pida 8 Baru, Jalan Sanglang, Kodiang, malam ini. FOTO Ihsan JBPM
Adie Suri Zulkefli
am@hmetro.com.my


LELAKI warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) rentung apabila rumahnya di Pida 8 Baru, Jalan Sanglang, Kodiang musnah dalam kebakaran, malam ini.

Mayat Salleh Arifin, 63, ditemui anggota bomba yang menjalankan pemeriksaan di kediaman mangsa selepas selesai memadamkan kebakaran.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.51 malam.

Menurutnya, jentera Pasukan Bomba Sukarela Lana Bulu dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Arau tiba di lokasi dalam tempoh sembilan minit, disusuli anggota dari BBP Jitra.

"Pihak bomba berjaya mengawal api pada 9.28 malam, namun hampir 90 peratus kediaman mangsa musnah dalam kebakaran itu.

"Ketika menjalankan pemeriksaan di lokasi selepas selesai operasi memadam kebakaran, anggota bomba menemui mayat mangsa yang tinggal bersendirian dalam keadaan rentung," katanya dalam kenyataan media.

Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 11:20 PM