Rohana bersama Safri (tengah) menunjukkan laporan polis mengenai pencarian waris Alia Maisara.
HM Digital

Melaka: Februari 2010, bagai menghadirkan sinar baru buat Rohana Abd Razak, 37, dan suami, Safri Abdul Samah, 59, apabila diminta menjadi pengasuh seorang bayi perempuan berusia dua minggu.

Namun, sejak itu juga ibu kandung kepada bayi berkenaan tidak pernah menjenguk dan bertanya khabar anaknya yang kini berusia lapan tahun.

Menceritakan peristiwa itu, Rohana berkata, pada waktu itu, genap lima tahun dia dan suami mendirikan rumah tangga, namun masih belum dikurniakan zuriat.

Katanya, sebelum itu dia yang tidak bekerja didatangi seorang wanita yang bertanyakan sekiranya boleh menjaga bayi.

“Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju dan hujung Februari 2010, seorang wanita dikenali sebagai Dina berusia 20-an, datang memberi salam dan meninggalkan bayi perempuannya yang diberi nama Angel berusia dua minggu. “Dina meninggalkan bayinya bersama dua helai kain, lampin pakai buang dan botol susu. Dia juga memberitahu akan melawat anaknya seminggu sekali.

“Bagaimanapun, janji itu tidak ditunaikan sehingga bayi berkenaan kini sudah berusia lapan tahun, malah nombor telefon ibu bayi terbabit juga tidak dapat dihubungi,” katanya ditemui di Taman Melaka Raya di sini, semalam.

Rohana berkata, sepanjang tempoh itu, dia dan suami memberi nama bayi terbabit Alia Maisara dan memeliharanya seperti anak kandung.

“Jiran juga menggalakkan kami memeliharanya (bayi) tetapi berdepan masalah tidak mempunyai dokumen kelahiran dan pengenalan diri.

“Tanpa dokumen pengenalan diri dan menyedari masa depan anak ini, saya membuat laporan di Balai Polis Sungai Udang pada 2 Februari lalu,” katanya yang sudah merujuk perkara itu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 9:52 AM