Joshua Eric
cnews@nstp.com.my

POLIS Sarawak masih berusaha mengesan cebisan badan mayat seorang wanita yang hanya kepalanya ditemui di kawasan tebing Sungai Batang Lupar di Skait, di Sri Aman pada 3 Mac lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Pahlawan Dzuraidi Ibrahim berkata, usaha turut bertumpu kepada pengumpulan bukti berkaitan termasuk maklumat lengkap bagi memperkukuhkan proses pendakwaan di mahkamah hujung minggu ini.

"Seorang suspek lelaki berusia 42 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes ini, dengan tempoh remannya dijadualkan berakhir pada 18 Mac ini. Kita sedang mengumpulkan keterangan untuk proses pendakwaan di mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman hari ini.

Pada 3 Mac lalu, kepala seorang wanita tanpa badan ditemui di kawasan tebing Sungai Batang Lupar di Skait, oleh orang ramai sebelum menghubungi polis memaklumkan penemuan mengejutkan itu.

Susulan penemuan itu, seorang lelaki dipercayai suami wanita berkenaan ditahan untuk membantu siasatan, sejurus membuat laporan polis mengenai kehilangan isterinya.

Sementara itu, Dzuraidi berkata, siasatan kes berkenaan sudah menunjukkan perkembangan positif dan pihaknya akan merujuk kepada timbalan pendakwaraya untuk tindakan lanjut, termasuk proses pendakwaan.

Menyentuh mengenai hasil lawatannya ke IPD Sri Aman, beliau berkata, pihaknya memantau rapi tahap keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan Parlimen Lubok Antu dan Batang Lupar sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlangsung.

"Di IPD Lubok Antu dan IPD Sri Aman, semua pegawai dan anggota kita di lapangan sudah bersiap sedia, termasuk menjalani simulasi menghadapi PRU-14 yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.

"Keseluruhannya, 114 anggota di IPD Lubok Antu dan 335 anggota di IPD Sri Aman terbabit dalam penugasan kawalan keselamatan serta ketenteraman awam pada pilihan raya kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 7:12 PM