Ahmad Zahid berswafoto bersama tetamu pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Padang Awam Taman Satria, Senawang, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Nur Aqidah Azizi dan Raja Noraina Raja Rahim
cnews@nstp.com.my

TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kecewa ada pemimpin parti komponen BN tidak tunjuk muka dalam program bersama rakyat yang dianjurkan oleh parti itu.

Timbalan Perdana Menteri meluahkan kekecewaan itu apabila ada pemimpin atau calon dari parti komponen BN tidak hadir pada program yang dianjurkan sedangkan beliau sendiri meluangkan masa untuk menghadiri program dan bertemu rakyat.

Beliau menyifatkan sikap itu memberi gambaran buruk kepada parti, lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan diadakan pada bila-bila masa.

"Tolong tunjuk muka di sini walaupun kita beri kerusi bertanding di tempat lain. Bantu calon kita, kerusi hendak tetapi program tidak hadir.

"Anda perlu tunjukkan hormat kepada kerusi yang ditandingi. Jangan beri alasan sibuk. Saya mahu rekod cemerlang diperoleh," katanya berucap pada Program Bersama Rakyat di Padang Awam Taman Satria, di Seremban, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Program berkenaan dihadiri kira-kira 6,000 penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi dan kawasan berdekatan.

Ahmad Zahid membuat teguran itu selepas mendapati tiada pemimpin MCA hadir pada program berkenaan yang dianjurkan oleh rakyat DUN Paroi, sedangkan pemimpin MIC dilihat hadir.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Rembau dan empat DUN termasuk Paroi dalam kawasan parlimen itu semuanya ditandingi oleh UMNO.

Dalam pada itu, beliau yakin dapat merampas semula kerusi Parlimen Teluk Kemang dan Seremban daripada pembangkang sekiranya pemimpin yang dicalonkan menunjukkan komitmen penuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 8:00 PM