FOTO hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


TIDAK cukup ditengking, seorang gadis turut disepak abangnya dalam kejadian di Kampung Tanjung, Kedai Buloh, Kuala Terengganu, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku pada 7.45 malam ketika mangsa, 19, berada di rumah mereka sebelum dikejutkan dengan jeritan suspek, 23, yang memanggil namanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, suspek dikatakan masuk ke dalam bilik mangsa lalu menengking adiknya tanpa sebab.

“Mangsa yang terpinga-pinga dengan tindakan suspek bertanya mengapa abangnya berkelakuan sedemikian, namun lelaki itu menjawab pertanyaan dengan sepakan.

“Suspek yang gagal mengawal kemarahan bertindak menghentak kepala mangsa menggunakan lutut menyebabkan mangsa mengalami sakit di kepala.

“Selain memukul mangsa, suspek turut memukul seorang lagi adiknya sebelum itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa mendakwa suspek sebelum ini kerap mengamuk selain pernah mengugut mahu menyembelih ahli keluarga mereka.

Katanya, mangsa yang bimbang keselamatan diri dan keluarga selain tidak tahan dengan sikap suspek mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 kanun sama kerana dengan sengaja menyebabkan cedera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 3:59 PM