GAMBAR hiasan
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@nstp.com.my


DUA rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan merompak dua lelaki warga Pakistan menggunakan sepucuk pistol dan menyamar sebagai anggota polis, awal bulan ini.

Peniaga pasar malam, Mohd Izwan Mustama, 36, dan mekanik, Rachman Helmi Nordin, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan rakan yang masih bebas dengan niat dan tujuan bersama melakukan rompak ke atas Muhammad Ayaz dan Abul Bosar, kedua-duanya pengawal keselamatan menggunakan senjata sepucuk pistol membabitkan kerugian RM1,160.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tapak projek Residensi Wangsa Meranti, Jalan Meranti, Wangsa Maju pada 12.30 tengah malam, 8 April lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda dan bagi kesalahan kedua atau kemudian hendaklah dipenjara dan boleh juga didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama-sama dengan niat dan tujuan bersama menyamar sebagai anggota polis di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Dakwaan terhadap pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa tidak menawarkan sebarang wang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Peguam K Komagan yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan anak guamnya perlu menyara keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran, dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan dilarang meninggalkan Kuala Lumpur tanpa kebenaran mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 5:14 PM