HANA menunjukkan Western Kebab yang dijual.
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menggunakanpengalaman 10 tahun dalam bidang masakan, seorang peniaga di bazar Ramadan Kelana Jaya di sini, mencuba nasib dengan memperkenalkan menu baru iaitu ‘Cheese Steak’ yang berasaskan herba.

Hidangan cetusan idea Norsyazana Iskandar, 28, atau Hana yang berasaskan herba Rosemary, Oregano dan Bayleaf itu jika sekali imbas kelihatan sama seperti kebab yang popular di negara Arab.

Norsyazana berkata, dia berasa amat teruja berikutan stik baru diperkenalkan di pasaran itu mendapat sambutan amat menggalakkan dalam kalangan pelanggan di bazar berkenaan.

“Sebelum ini saya banyak melihat rancangan masakan dan terfikir untuk mencipta stik ini dengan cara serta menggunakan ramuan sendiri.

“Jadi saya gunakan pengalaman sebagai chef sebelum ini untuk menghasilkan hidangan terbaik. Alhamdulillah setakat ini ia habis dijual,” katanya.


HANA menyiapkan Cheese Steak di gerainya di bazar Ramadan Kelana Jaya, semalam.

Hana berkata, antara keistimewaan stik dihasilkan adalah ia menggunakan daging dan ayam sepenuhnya tanpa dicampur dengan banyak bahan lain.

Menurutnya, stik ini juga dikenali sebagai Western Kebab kerana bahan yang digunakan adalah dari negara barat.

“Ia memang kebab, tapi tiada kari dan banyak bahan perasa. Saya tak sangka cubaan pertama kali ini berjaya. Saya akan kembangkan perniagaan ini selepas ini,”katanya.

Dia yang juga antara peserta program 5by20 di bawah Inisiatif Komuniti Usahawan Coca-Cola (Coca-Cola KU) berkata, stik ini mungkin masih baru bagi masyarakat negara ini, tetapi keunikan rasanya mampu membuka selera sesiapa saja.

“Ada pelanggan yang datang lagi untuk membeli, bila ditanya mereka kata sedap. Setakat ini belum ramai yang tahu. Saya juga berkongsi di laman Facebook milik saya, Norsyazanaiskandar,” katanya.


HANA melayan pelanggan yang singgah di gerainya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 4:48 AM