ORANG ramai mula menunggu seawal jam 3.00 petang.
Mohd Sharumnisham Shahbudin
cnews@nstp.com.my


Kubang Pasu: Setiap kali tibanya Ramadan, air halia dan bubur lambuk di Kampung Pulau Timbul, di sini pasti menjadi sebutan.

Apa tidaknya, ia dimasak dengan resipi turun temurun sejak lebih 10 generasi terdahulu menggunakan kawah berusia 100 tahun dan periuk tembaga berusia 200 tahun bagi menghasilkan juadah lebih sedap.

Jadi, tidak hairanlah, kedua-dua makanan dan minuman itu mendapat permintaan tinggi dan orang ramai menunggu sejak jam 3 petang untuk mendapatkannya walaupun pengagihan bermula jam 4 petang.

Pewaris resipi, Che Ahmad Abdul Hamid, 61, berkata, resipi dan cara memasak bubur lambuk sama diteruskan sejak dulu tanpa sebarang penambahan atau pengurangan.

“Selain cara masakan, kawah dan periuk tembaga yang digunakan untuk kedua-dua juadah ini juga memberi rasa berbeza dari tempat lain dan menjadi tarikan utama.

“Kawah dan periuk tembaga ini dipercayai dibawa oleh pedagang India dulu dan mereka tinggalkan di sini apabila mereka pulang ke semula ke negara asal,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Pulau Timbul, di sini.

Che Ahmad berkata, rutin mereka bermula seawal jam 12.30 tengah hari dan selesai diagihkan jam 4.30 petang.

Katanya, sebelum ini mereka menggunakan 18 kilogram (kg) beras, tetapi tahun ini sebanyak 20kg beras digunakan untuk memasak bubur lambuk dan diagihkan kepada 500 penduduk secara percuma.

“Bukan setakat penduduk kampung ini, ada juga beberapa kampung berdekatan sanggup menunggu,” katanya yang sudah 20 tahun mewarisi resipi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 5:22 AM