Hazsyah Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


KAKITANGAN Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah bersama pekerja ladang berusaha menghalau 62 ekor gajah yang memasuki kawasan ladang kelapa sawit di kawasan Ulu Segama, Lahad Datu.

Pengarah JHL Sabah Augustine Tuuga berkata, pihaknya mendapati jumlah sebenar gajah yang berkeliaran di lokasi itu ialah 62 ekor, berbanding anggaran awal sebanyak 40 ekor dengan haiwan liar terbabit pula berpecah kepada lima kumpulan kecil.

Katanya, keadaan itu secara tidak langsung menyukarkan usaha menghalau gajah terbabit kembali ke Hutan Simpan Kawag atau Hutan Simpan Ulu Segama berhampiran.

“Setakat ini ladang yang terbabit dengan serangan gajah itu ialah Ladang Transkina, Agro Chem dan kebun yang terletak antara Hutan Simpan Kawag dan Hutan Simpan Mesuli,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, kira-kira 40 gajah dilaporkan memasuki kawasan ladang kelapa sawit di Ulu Segama sejak 1 Oktober lalu dengan seekor daripadanya dikesan mengalami kecederaan di kaki, dipercayai terkena jerat.

Mengulas lanjut, Augustine berkata, gajah terbabit berkemungkinan masuk ke kawasan ladang kerana pihak ladang sedang menebang pokok kelapa sawit tua yang digemari haiwan terbabit sebagai makanan.

“Kumpulan gajah ini juga dilaporkan berada di Hutan Simpan Mesuli pada waktu siang dan masuk ke ladang pada petang hingga subuh.

“Jumlah kakitangan bertugas sudah ditambah kepada sembilan orang dan dibantu kakitangan ladang.

“Cara menghalau ialah menggunakan bunyi tembakan senapang serta menghidupkan unggun api, selain kenderaan serta jentera berat milik ladang berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 7:45 PM
DUA ekor gajah dikesan berkeliaran di ladang kelapa sawit di kawasan Ulu Segama, Lahad Datu. FOTO Ihsan JHL Sabah