Anggota AADK Perlis menahan beberapa orang lelaki yang disyaki penagih dadah dalam serbuan di kawasan kebun mempelam di Kampung Guar Musang. FOTO Ihsan AADK
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


CUCU berusia 16 tahun ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis selepas didapati menjadikan rumah neneknya sebagai ‘port’ menghisap syabu bersama seorang rakannya di Santan di Padang Besar, semalam.

Remaja itu dan rakannya berusia 13 tahun antara 11 lelaki yang ditahan dalam Op Aduan yang dilancarkan AADK Perlis bermula 8 pagi hingga 2 petang.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad berkata, penangkapan dua remaja terbabit dilakukan kira-kira 11 pagi di rumah neneknya ketika sedang leka menghisap dadah.

“Remaja terbabit tinggal bersama neneknya sejak beberapa tahun lalu, selepas ayahnya meninggal dunia manakala ibunya tinggal berasingan.

“Ketika ditahan, dia bersama rakannya yang dipercayai masih bersekolah berada dalam keadaan khayal kerana menghisap dadah jenis syabu di dalam rumah berkenaan.

“Keadaan neneknya yang uzur menyebabkan remaja terbabit berani menghisap dadah bersama rakannya itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam serbuan berasingan di kebun di Kampung Guar Musang, Azizah berkata, pihaknya menahan sembilan lelaki berusia antara 16 hingga 40 tahun ketika sedang leka menghisap dadah.

“Beberapa penagih yang terkejut dengan kehadiran pegawai kami cuba bertindak melarikan diri ke kawasan sawah berhampiran.

“Bagaimanapun, pegawai AADK berjaya menahan mereka berikutan keadaan sawah yang berselut menyukarkan penagih terbabit melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing ke atas mereka mendapati 10 penagih positif syabu manakala seorang positif opiat.

Semua penagih terbabit disiasat mengikut Seksyen 3 (1), Seksyen 4 (1)(b) dan Seksyen 6 (2)(d) Akta Penyalahgunaan Dadah 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 12:58 PM