Muhammad Apendy Issahak
cnews@nstp.com.my

MAYAT lelaki di sebuah lombong di Jalan Kuari Tanjung Batu, Pantai Remis, dekat Manjung, kelmarin, dipercayai mangsa bunuh akibat kes dadah.

Mangsa, K Muthukumar, 43 tahun dipercayai dibunuh akibat gagal membayar wang hasil jualan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner, Yahya Abd Rahman berkata, ia susulan penahanan tiga individu termasuk seorang wanita di Manjung, tengah malam tadi.

Beliau berkata, berdasarkan soal siasat suspek, mangsa dipercayai pengedar dadah kecil-kecilan gagal membayar wang hasil jualan dadah kepada lelaki berusia 30 tahun.

Katanya, lelaki itu kemudian mengarahkan lelaki berusia 44 tahun dan wanita 27 tahun untuk menuntut wang berkenaan.

“Namun, berlaku pergaduhan dan mangsa ditikam dengan pisau di bahagian badan. Mayatnya dibungkus serta diikat dengan batu untuk ditenggelamkan di dalam lombong itu.

“Mayat dipercayai timbul selepas kembung sebelum ditemui penduduk berhampiran,” katanya.

Yahya berkata, dengan tertangkapnya tiga suspek berkenaan, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan kes itu.

Beliau berkata, Unit Selam Pasukan Polis Marin juga akan membuat selaman di lombong berkenaan hari ini bagi mencari bahan bukti.

“Selain itu, suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

NSTP semalam melaporkan mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui dalam sebuah lombong di Jalan Kuari Tanjung Batu, Pantai Remis.

Mayat itu ditemui dalam keadaan berbungkus dan diikat dengan dawai besi di kepala dan kaki.

Mayat berkenaan ditemui penduduk yang datang ke kawasan itu untuk menjerat burung.

Berita berkaitan:

Mayat lelaki dalam kanvas biru

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 3:27 PM