MUHAMMAD Ridzuan (dua dari kiri) dan rakan melihat gambar rakan sekerja mereka yang maut dalam kejadian 3 Oktober lalu. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain
cnews@nstp.com.my

SIKAP tenang anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Izatul Akma Wan Ibrahim dikagumi salah seorang rakan sekerja yang rapat dengannya, Muhammad Ridzuan Kamaruzaman.

Menurut Muhammad Ridzuan, 27, sepanjang mengenali rakan sekerjanya itu, Izatul Akma tidak pernah sekali pun dia melihat arwah marah.

“Walaupun ada perkara pada saya atau lain, kita rasa hendak marah dan kita tidak puas hati, tapi Akma tenang, dia cakap ‘tak apa, biarkan saja, kita tidak perlu fikir sangat’.

“Saya pun tidak tahu macam mana Akma boleh buat macam tu (kawal prasaan marah). Pada saya, dia seorang yang sangat kuat semangat,” kata anggota Pasukan C PPDA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang itu.

Dia yang ditemui baru-baru ini, berkongsi kenangan empat rakan sekerjanya, Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma, 32; Mazlan Omarbaki, 25 dan Yahya Ali, 24, yang maut dalam kejadian lemas di lombong di Puchong, 3 Oktober lalu.

Kejadian turut mengorbankan nyawa dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Ketika kejadian, keenam-enam mereka terbabit operasi mencari remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan lemas di lombong berkenaan.

Menurutnya, kenangan mengangkat mayat dua beradik yang rentung bersama Izatul Akma lima tahun lalu juga antara pengalaman yang tidak akan dilupakan ketika mereka bertugas di BBP Kota Anggerik.

“Pada tahun 2013, ada kebakaran rumah, saya dan arwah mengangkut dua mayat bersama iaitu mayat budak lelaki dan perempuan rentung 100 peratus. Ketika itu, api sudah padam tapi dua mayat belum dijumpai, kami cari dan jumpa.

“Akma bukan sahaja bantu angkat mayat tetapi dia mengajar cara angkat dengan betul, mula dengan Bismillah, selawat ke atas Nabi dan angkat dengan lembut kemudian letak di atas pengusung sebelum bawa keluar dan masukkan dalam beg mayat.

“Malam itu, saya tidak boleh tidur sebab teringatkan mayat terbabit, Akma yang teman saya sehingga pagi,” katanya.

Dia berkata, Akma banyak membantunya, selain mengajar teknik memadam api gambut di tengah panas terik dan Akma jugalah yang mendorong beliau menyertai PPDA sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 4:13 PM