Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


LELAKI terbakar hampir seluruh badan selepas disyaki cuba membunuh diri di dalam hutan berhampiran Kampung Lok Poring, Sepanggar, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, lelaki warga tempatan berusia 44 tahun itu ditemui dalam keadaan melecur oleh anak saudaranya yang terdengar jeritan lelaki itu meminta tolong.

Difahamkan, dia turut meminta supaya ibunya memaafkan segala dosanya.

Berikutan itu, anak saudaranya meminta bantuan penduduk kampung dan menghantar lelaki terbabit ke pusat rawatan di Pangkalan TLDM, Sepanggar sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner, Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit tinggal di pondok di dalam kawasan hutan iaitu 15 meter dari tempat dia cuba membunuh diri.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, menemui ranting kayu dengan kesan terbakar bersama-sama cebisan pakaian.

“Lelaki yang melecur 80 peratus di badannya dirawat di HQE 1 dan dia kini dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca bahan bakar di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 4:51 PM