PENGARAH Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), Erik Winter bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Christophe Lejeune (kiri), ketika majlis Volkswagen Perkenal Rangkaian Model ‘JOIN’ sempena Volkswagen Fest 2018. FOTO Sairien Nafis
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my


VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan edisi istimewa JOIN bagi model terpilih Volkswagen untuk pemilik kenderaan jenama itu yang mahukan penampilan berbeza.

Pakej aksesori JOIN kini boleh didapati untuk model Volkswagen Polo, Vento varian Comfortline dan Highline serta Tiguan Highline dan Passat Comfortline dengan plat anti calar sisi, spoiler belakang, kemasan but kereta, tint VW dan pelbagai penambahan eksklusif bernilai RM12,000.

Sempena pengenalan rangkaian JOIN juga, sebanyak 25 unit model itu akan dijual secara eksklusif di laman web Lazada bermula hari ini hingga 18 Oktober 2018.

Selain itu aplikasi program kesetiaan pelanggan “Volkswagen Cares” yang boleh digunakan untuk peranti IOS dan Android juga diperkenalkan merangkumi tawaran servis, ganjaran kepada pemilik, video pendidikan, tip kemas kini acara dan bantuan jalanan 24 jam.

Acara pelancaran ini diadakan sempena Volkswagen Fest 2018 yang berlangsung hari ini hingga 14 Oktober di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam.

Pengunjung boleh menikmati tawaran eksklusif ke atas model baru dan yang sudah didaftarkan serta pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga seperti trak makanan, persembahan buskers, tayangan filem (12 Oktober) dan konsert terbuka (13 Oktober).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 5:05 PM