PELANGGAN boleh memilih pelbagai makanan ditawarkan Kamariah dan adik-beradiknya di Medan Steamboat BBU di Bandar Baru Uda, Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


“HUBUNGAN kami enam beradik sejak kecil ibaratkan kawan baik dan membantu kami mewarisi dan meneruskan perniagaan stimbot arwah bapa sejak 14 tahun lalu,” kata penjaja di Medan Steamboat BBU di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Kamariah Abd Rashid, 50, hari ini.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia bersama lima beradik mengambil alih perniagaan stimbot bapanya, Abd Rashid Layong selama hampir 20 tahun.

Menurutnya, arwah bapanya adalah peniaga asal stimbot di Pantai Lido sebelum meneruskan aktiviti jualan di Dataran Bandaraya Johor Bahru selama tiga tahun.

Katanya, arwah bapanya yang berasal dari Kampung Ulu Pulai, Gelang Patah pernah ditemani ibu, Yang Dayu ketika berniaga dan kini usia ibunya mencecah 80 tahun.

“Pada awalnya kami tiada perancangan untuk berniaga kerana kebanyakan kami sudah bekerja atau mempunyai perniagaan masing-masing.

“Namun ia timbul secara spontan selepas bapa meninggal dunia pada 1 Jun 2004 dan genap sebulan selepas itu, kami meneruskan perniagaannya dengan menamakannya sebagai Family Steamboat.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai penyelia di kilang namun sanggup berhenti bagi meneruskan perniagaan arwah bapa bersama adik-beradik,” katanya.

Adik-beradik Kamariah termasuk Zabedah, 59; Abd Rahmat Abd Rashid, 57; Rosnani, 54; Hatijah, 52, dan Zaharani, 46.

Kamariah berkata, dua daripada adik-beradiknya adalah bekas suri rumah dan sanggup menyahut cabaran untuk berniaga bersama.

Menurutnya, mereka membahagikan tugasan ketika berniaga termasuk ada yang membuat persiapan membeli barangan basah, mengambil pesanan, menyiapkan makanan, melayan pelanggan serta menguruskan kewangan.

Katanya, selama 14 tahun menjalankan perniagaan, antara cabaran dialami adalah setiap kali pemindahan medan stimbot kerana ia membuat semua peniaga memakan masa untuk menyesuaikan diri serta menarik pelanggan.

“Pernah kami hanya cukup-cukup makan, namun tidak berputus asa sebaliknya sentiasa mahu menyahut cabaran serta mengekalkan perniagaan ini.

“Kami sentiasa berpegang kepada pesanan arwah bapa supaya susah sama susah, senang sama senang serta sentiasa saling membantu.

“Secara tidak langsung, perniagaan stimbot ini mampu memperkukuh ikatan kekeluargaan dan membolehkan kami merasakan pengorbanan arwah bapa,” katanya.

Kamariah berkata, antara keistimewaan stimbot adalah masih mengekalkan resepi asal arwah bapa dan ibunya.

Menurutnya, ia termasuk resepi sup serta kuah kacang hingga menjadi kegemaran pelanggan.

Katanya, keunikan sup berkenaan adalah ia lebih berlemak dan hasil adunan lebih 10 jenis rempah ratus.

“Kami tinggal berasingan termasuk di Kulai dan beroperasi di lotun van bernombor 6 di medan stimbot ini bermula 5 petang hingga 2 pagi setiap hari.

“Kami menawarkan 36 jenis pilihan unik, lazat dan sedap termasuk sotong, bebola ikan, daging, telur puyuh dan sayuran serta setiap satu berharga antara RM2 hingga RM3.

“Soal keuntungan, kami membahagikan hasil jualan pada setiap hari dan kebiasaannya kami menerima lebih ramai pelanggan pada hujung minggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 6:34 PM