MOHD Isa (dua kanan) beramah bersama penduduk di Taman Politeknik, Port Dickson, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Ifwan Tun Tuah
ifwan@nstp.com.my


CALON Bebas Tan Sri Mohd Isa Samad yakin sebahagian besar daripada kira-kira 13,000 ahli UMNO Bahagian Port Dickson berada dalam kategori ‘pengundi putih’ yang berpihak kepadanya.

Menjelang hari pengundian esok, Mohd Isa yang juga bekas Ketua UMNO Bhagian Teluk Kemang (kini Port Dickson), berharap mereka akan keluar awal ke tempat mengundi bagi mengelak terperangkap dalam hujan lebat.

“UMNO ada kira-kira 13,000 ahli dengan sebahagian besar mereka mengenali dan menyokong saya.

“Mereka tahu saya bertanding sebagai calon Bebas dan saya harap mereka akan terus menyokong saya.

“Saya tidak berasa tertekan kerana ini kali ke-10 saya bertanding dalam pilihan raya, namun mengharapkan pengundi keluar awal kerana hujan lebat setiap petang sejak beberapa hari lalu mungkin menjadi punca orang tidak pergi mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan ke sebuah rumah di Taman Politeknik, Port Dickson, hari ini.

Mohd Isa menentang calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS) dan empat lagi calon Bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ditanya sama ada kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, kelmarin yang menjelaskan parti itu tidak menghalang ahli untuk mengundi, Mohd Isa menegaskan tidak mengambil berat kenyataan berkenaan.

“Kenyataan beliau berbelit-belit sejak awal, saya tak peduli sangat. Tapi saya meletakkan harapan kepada ahli UMNO di sini yang sudah lama mengenali saya,” katanya.

Mohd Isa tidak hanya meletakkan sasaran untuk mendapatkan semula deposit, sebaliknya mahu memenangi PRK ini.

“Saya tidak mempunyai kumpulan khas untuk mengkaji prestasi dan kedudukan saya, tapi berdasarkan perasaan saya, insya-Allah orang Port Dickson tidak akan kecewakan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 8:18 PM