NELAYAN di Dungun mengasingkan ikan barat yang ditangkap sebelum dieksport ke China. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


SELEPAS tiga tahun menyepi, ikan barat atau nama saintifiknya Aluterus Monoceros kembali ‘menyerang’ perairan Terengganu dan mengembalikan senyuman kepada nelayan kerana mendapat rezeki terpijak.

Dalam tempoh seminggu ini, empat nelayan di daerah Dungun berjaya mendaratkan kira-kira 15 tan ikan terbabit yang bernilai kira-kira RM 180,000.

Mohamad Abd Ghani, 57, berkata, ikan terbabit yang bergerak secara berkawan sudah tiga tahun menyepi di perairan Terengganu.

Bagaimanapun, katanya, minggu lalu ikan itu dikesan ‘bermain’ pada jarak kira-kira 80 batu nautika dari Kuala Dungun berhampiran pelantar minyak Pulau A.

“Dalam tempoh itu, dua kali saya turun ke laut untuk menjejak ikan itu dan berjaya memperoleh tangkapan sekitar 2.3 tan dengan meraih pendapatan kira-kira RM27,600.

“Bagi pasaran tempatan, ikan itu dijual pada harga RM9 hingga RM10 sekilogram dan kebanyakannya akan dieksport ke China dengan harga sekitar RM10 hingga RM12 sekilogram,” katanya.

Wan Yusof Wan Mohamad, 54, berkata kehadiran ikan itu mendatangkan rezeki kepada nelayan di Dungun dan Kemaman.

Katanya, ikan barat biasanya akan mencari makan di kawasan terbabit termasuk ke perairan Indonesia yang terletak kira-kira 15 batu nautika dari situ.

“Perjalanan saya ke sana mengambil masa selama 15 jam dan Alhamdulillah, saya memperoleh tangkapan yang berbaloi.

“Ikan ini mencari makan di tengah laut dan sekiranya kekurangan sumber makanan, ia akan berenang menghampiri kawasan pantai,” katanya yang sehingga kini berjaya mendaratkan tangkapan sebanyak 4.2 tan.

Bahiyuddin Harun, 30, berkata dia turun ke laut pada Isnin lalu selepas rakannya di Kerteh, Kemaman memaklumkan memperoleh tangkapan lebih empat tan.

“Saya membawa bekalan umpan obor-obor sekitar 700 kilogram yang ‘disauk’ di perairan Kuala Dungun sebelum menuju ke sana.

“Selama tiga kali memukat di perairan itu saya berjaya membawa pulang tangkapan seberat 4.2 tan dan esok saya akan keluar lagi,” katanya.

Pada masa sama, Bahiyuddin meminta kepada pihak berkuasa terutama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) supaya membuat pemantauan kerap di perairan itu.

“Memandangkan perairan itu hampir dengan sempadan Indonesia, kita bimbang bot nelayan tempatan ditahan pihak berkuasa Indonesia.

“Biarpun nelayan kita masih menangkap ikan dalam perairan negara, mereka akan bertindak menahan bot kita dan perkara itu banyak kali berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 10:36 PM