Tuanku Muhriz dan Tengku Aishah ketika bacaan talkin untuk almarhum anakanda bongsu mereka di Makam Diraja Seri Menanti, petang tadi. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Amran Yahya
am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Jenazah anakanda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin Tuanku Muhriz selamat dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti, di sini, 6.40 petang tadi.

Istiadat pemakaman dibuat secara tertutup disaksikan ayahandanya, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan bondanya, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Bacaan talkin dan tahlil dikendalikan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Eksekutif Masjid Diraja Seri Menanti, Abd Rahman Ibrahim.

Terdahulu, jenazah Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin, yang mangkat pada 11.55 pagi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur, hari ini, disembahyangkan di dalam Istana Besar Seri Menanti.

Yang turut hadir memberi penghormatan terakhir adalah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumuddin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 8:54 PM