PENGGUNAAN telefon pintar tidak terbatas.
PENGGUNA patut memanfaatkan telefon pintar sebaik mungkin.
MAKIN banyak aplikasi boleh dipindah turun.
Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Jumlah pengguna telefon pintar di Malaysia dijangka mence­cah 11 juta pada tahun ini dengan kadar pertumbuhan tahunan 10 peratus dari 2013 hingga 2017

Ia didedahkan platform data pintar terkemuka bagi pemasaran dan perniagaan mudah alih, Vserv dalam Laporan Persona Pengguna Telefon Pintar Malaysia 2015.

Kenaikan pasaran telefon pintar Malaysia ini paling didorong pengguna daripada golongan umur 30 tahun ke bawah iaitu sebanyak 64 peratus daripada jumlah pengguna telefon pintar di negara ini.

Berdasarkan kajian yang dikendalikan oleh Nielsen Informate Mobile Insights, laporan menetapkan segmen pengguna telefon pintar Malaysia berdasarkan perbandingan persona yang berbeza serta mendalami corak penggunaan aplikasi termasuk tempoh penggunaan, jenis aplikasi, kadar penggunaan data dan demografik.

“Ahli pemasaran kini perlu mengutamakan penyebaran mesej yang lebih relevan dan memperkaya pengalaman pengguna.

“Mereka memerlukan strategi yang tertumpu pada persona dan visi pengguna,” jelas Naib Presiden, Global Marketing, Vserv, Pranab Punj.

Maklumat laporan terbabit membolehkan ahli pemasaran untuk mengetahui, memahami dan menentukan sasaran audien yang lebih tepat menerusi perancangan strategi mudah alih yang mantap.

Dalam laporan terbabit juga, ia mendedahkan pengguna telefon pintar meluangkan masa purata selama 187 minit sehari mengguna peranti masing-masing

Terdapat enam jenis pengguna telefon pintar yang dikategorikan dalam laporan terbabit:

1. ‘Data Guzzlers’ - Ditentukan oleh penggunaan data tertinggi yang bertumpu pada aplikasi pelayaran dan permainan

2. ‘Dabblers’ - Tahap pembabitan telefon pintar yang terendah (171 minit sehari) dan jarang mengakses aplikasi dan laman Internet

3. ‘App Junkies’ - Pemasangan jumlah aplikasi dan permainan yang tertinggi pada kadar 11 jenis aplikasi dalam tempoh sebulan

4. ‘Power Users’ - Menghabiskan selama 219 minit sehari untuk telefon pintar yang turut membabitkan kadar masa yang lama dan kebanyakannya pengguna perempuan dengan purata pembabitan tertinggi untuk pelbagai jenis aplikasi

5. ‘Utilitarians’ - Pengguna yang mengutamakan aplikasi utiliti seperti panggilan suara, berita dan e-mel (tempoh penggunaan telefon pintar selama 177 minit sehari)

6. ‘Social Stars’ - Meluangkan separuh daripada masa berbual atas rangkaian dan aplikasi sembang (hampir satu jam setengah sehari)

“Matlamat laporan ini ialah untuk memperkaya pemasaran dengan kefahaman yang mantap mengenai pengguna telefon pintar Malaysia serta perkembangan corak penggunaan dan perilaku mereka.

“Ia seterusnya menyumbang ke arah perancangan strategi komunikasi yang berkesan dengan peningkatan pengguna Internet mudah alih di Malaysia, kami yakin laporan ini boleh membantu ahli pemasaran untuk sentiasa berada selangkah di hadapan,” kata Pengarah Teknologi untuk Nielsen Malaysia, Monjur Elahi.

Kajian terbabit berdasarkan pengumpulan data penggunaan automatik yang diperoleh daripada lebih 1,244 pengguna telefon pintar di Malaysia sepanjang tempoh kajian selama tiga bulan.

Ia dikendalikan menerusi teknologi permeteran telefon pintar inovatif yang dipasang pada telefon pintar subjek yang mengambil bahagian dalam kajian ini.

Penembusan telefon pintar yang tinggi bukanlah asing bagi kebanyakan remaja atau kategori ‘power users’ memandangkan merekalah golongan pencetus kepada trend digital terutama bagi keba­nyakan inovasi dalam gajet masing-masing.

Namun persoalan penting yang perlu dijawab adalah sama ada golongan ini benar-benar memanfaatkan teknologi telefon pintar itu sendiri atau sekadar platform berhibur dan bersosial.

Kalau dulu telefon hanya digunakan untuk berkomunikasi, kini dengan nama telefon pintar ia perlu menjadikan si penggunanya sama bijak dengan gajet terbabit.

Telefon pintar bukan lagi tempat untuk bergayut berjam-jam atau balas membalas mesej semata-mata. Ia bukanlah juga tempat untuk mengemas kini status Facebook yang bukan-bukan atau mendedahkan terlalu banyak foto peribadi di Instagram.

Ia juga bukan tempat untuk menjatuhkan air muka orang lain atau menyerang peribadi tanpa berani mendedahkan identiti sendiri, sekadar menyorok di sebalik telefon empat segi menaip laju.

Telefon pintar dengan tambahan teknologi Internet sepatutnya menjadi medan ilmu atau pencetus idea kreatif yang boleh memanfaatkan kehidupan sedia ada.

Pengguna telefon pintar yang bijak hanya akan menjadikannya gajet berupaya menyelesaikan masalah kehidupan dan bukannya menambah beban terutama memeningkan kepala melihat ayat negatif di ruang komen Facebook atau Instagram.

Dari aspek psikologi, sudah pasti anda berasa murung dan merasai aura negatif jika setiap hari terlalu intim dengan laman sosial sehingga memeningkan otak yang sepatutnya beroperasi untuk hal lebih mustahak.

Tempoh masa yang diluangkan di telefon pintar bukan sedikit. Berjam-jam lamanya menunjukkan ia teman paling rapat dengan anda.

Entah-entah mungkin lebih rapat dengan gajet berbanding ibu bapa sendiri.

Ia mewujudkan ruang digital yang membimbangkan apabila telefon pintar itu sendiri menjadi teman mengadu nasib berbanding tikar sejadah bagi umat Islam.

Ada yang mengatakan tidak boleh hidup tanpa telefon pintar atau anda sudah pasti mendengar kata moden, ‘kalau tertinggal dompet di rumah tidak mengapa jangan tertinggal telefon’.

Sejauh mana kebenarannya, ia terpulang kepada niat dan hati masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 10:57 AM