KUMPULAN Raihan ketika menerima kunjungan Ratu Elizabeth di Studio Synchrosound Petaling Jaya.

Kuala Lumpur: Sukar untuk kita menafikan kehebatan kumpulan nasyid Raihan yang pernah mencipta fenomena bermula pada 1997 hingga pertengahan tahun 2000.

Raihan bermaksud haruman dari syurga ketika itu dianggotai Nazrey Johani selaku penyanyi utama, Allahyarham Azahari Ahmad, Abu Bakar Mohd Yatim, Che Amran Idris dan Amran Ibrahim tampil dengan album pertama berjudul Puji-Pujian berkonsep nasyid kontemporari.

Populariti dikecapi membawa Raihan mengembara ke seluruh dunia mengadakan persembahan. Antaranya Australia, Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, Afrika dan Asia.

Raihan turut diundang mengadakan persembahan sempena penutup Sukan Komanwel di Bukit Jalil pada 1998. Paling menarik, mereka turut menerima kunjungan Ratu Elizabeth di Studio Synchrosound, Petaling Jaya sebelum Sukan Komanwel berlangsung.

Album Puji-Pujian pula terjual lebih 1.5 juta unit manakala jumlah keseluruhan album mereka (18 album termasuk kompilasi) terjual 3.5 juta unit termasuk jualan antarabangsa.

Mereka mencipta sejarah apabila menerima 17 trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Individu bertanggungjawab mencetus kebangkitan Raihan ialah Farihin Abdul Fattah selaku penerbit dan pengurus Raihan.

Mengimbas kenangan itu, Farihin berkata, Raihan berasal daripada kumpulan The Zikr dan mempunyai lapan anggota.

“Anggota mereka ramai kerana dalam persembahan mereka bermain percussion. The Zikr aktif buat persembahan di universiti. Saya memang mempunyai hubungan baik dengan syarikat Karya One yang menerbitkan album mereka dan kebetulan anggota Raihan bekerja di situ dalam pelbagai unit.

“Arwah Azahari dan Abu Bakar bekerja di bahagian grafik. Mereka sering buat latihan di situ dan saya nampak bakat mereka boleh diketengahkan.

“Saya kemudian berbincang dengan Pengarah A & R Warner Music Malaysia ketika, Nasser Abu Kassim (kini Datuk) dan dia memberikan beberapa cadangan antaranya mengurangkan anggota yang ada.

“Nama kumpulan juga perlu ditukar kepada nama baru dan akhirnya kami memilih nama Raihan,” katanya.

Farihin berkata, perancangan menghasilkan album Puji Pujian bermula pada 1995 dan setahun selepas itu lahirlah album yang berjaya meresapi pelbagai golongan masyarakat ini.

“Sebelum itu Raihan merakam lagu demo untuk dinilai Nasser. Lagu-lagu ada antaranya ialah Iman Mutiara dan Sesungguhnya. Lagu Puji-Pujian pula hasil idea Nasser kerana dia memikirkan perlu ada sebuah lagu yang mampu memikat golongan kanak-kanak.

“Cabaran ketika itu ialah kami perlu bersaing dengan genre dangdut yang sedang rancak menguasai peminat. Album Ella juga laris ketika itu. Jadi, kami bersama Nasser memikirkan perlu menghasilkan album dakwah untuk masyarakat.

“Nasser kemudian usulkan cadangan itu kepada Tony Fernandes (kini Tan Sri) yang ketika itu Pengarah Urusan Warner Music dan beliau bersetuju,” katanya.

Farihin berkata, dia tidak menyangka lagu Puji Pujian meletup dan mencipta fenomen kerana tidak meletakkan harapan tinggi sebelum itu.

“Dalam masa dua minggu, jualan album berkenaan sudah mencecah 75,000 unit dan 300,000 unit dalam masa dua bulan. Paling mengejutkan album itu mencatat jualan 700,000 unit dalam masa enam bulan sekali gus mencipta rekod sebagai album tempatan paling laris. Lagu Puji-Pujian memang mengesankan dan ramai yang belajar syahadah menerusi lagu itu,” katanya.

Tahun pertama jadual Raihan sangat padat. Yang menggembirakan Farihin, setiap kali memandu kereta, pemandu lain pasti memainkan lagu Raihan.

“Paling menarik apabila pada 1997, Raihan menjayakan persembahan jelajah seluruh Malaysia. Kami juga mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya membuka hati Menteri Besar Kelantan ketika itu, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk membenarkan hiburan berkonsep Islam.

“Sebelum itu, beliau melarang sebarang bentuk konsert di Kelantan. Momentum daripada itu, kami diundang buat persembahan di Indonesia dan negara-negara lain.

“Kami faham di luar pun tandus dengan album berkonsep begini. Cuma agak menghairankan bagaimana mereka tahu kumpulan kami sedangkan ketika itu kemudahan Internet belum meluas.

“Raihan juga berduet dengan Yusuf Islam menerusi lagu God Is The Light dan Rakan Selawat dalam versi Inggeris,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 8:13 AM